Thursday, August 27, 2009

contoh karangan

TAJUK : Anda berasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang terlalu rakus sehingga tergamak memusnahkah hutan belantara. Sebagai reaksi kepada fenomena tersebut anda ingin menyumbangkan sebuah rencana untuk dimuatkan di dalam sebuah majalah tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah ‘Pemusnahan Hutan di Neg ara Ini: Punca dan Langkah Mengatasinya. ’ Tuliskan rencana tersebut selengkapnya.

Pemusnahan Hutan Di Malaysia : Punca dan Langkah Mengatasinya


Saudara Pengarang,

Hutan merupakan habitat semula jadi kepada beribu-ribu spesies flora dan fauna. Hutan berfungsi sebagai penstabil ekosistem alam. Di Malaysia hutan hujan tropika mengandungi khazanah bernilai yang sukar ditemui di negaranegara lain. Kewujudan hutan yang begitu luas di negara kita telah menjadi suatu rahmat yang tidak ternilai.Akan tetapi, warisan sumber tropika ini semakin menghadapi bahaya ancaman kepupusan akibat kurang penjagaan, penerokaan haram, dan aktiviti pengodolan tanah tinggi yang menjadi-jadi. Hutan kini menjadi mangsa kerakusan manusia yang mengejar untung dan laba.Justeru, atas tiket pembangunan manusia telah mewajarkan hutan diteroka dengan sewenangwenangnya.Prihatin dengan keadaan tersebut, sebagai warga yang bertanggungjawab kita wajar mengenal pasti akan punca-punca masalah ini terjadi dan mengambil insiatif untuk membendungnya.

Pemusnahan hutan lazimnya dikaitkan dengan penglibatan dalam bidang ekonomi. Memang sejak era tradisi lagi hutan telah dikenal pasti sebagai sumber khazanah yang tidak ternilai kekayaannya.Hasil-hasil hutan seperti kayu-kayan, rotan, buah-buahan dan binatang telah menjadi keperluan kepada manusia sejak dari zaman primitif hingga ke hari ini. Selain itu, hutan menjadi sasaran dalam aktiviti pertanian sama ada pertanian pindah pada zaman primitif atau pertanian komersial pada era pascamoden kini. Oleh itu, atas tiket pembangunan hutanlah yang menjadi sasaran. Kadang-kala sikap manusia sendiri yang menjadi terlalu ironis kerana manusia yang dikatakan terlalu sensitif dengan pelesterian alam, tetapi dalam masa yang sama tergamak menggeledah hutan rimba dan gunungganang yang menjadi pasak alam dan penstabil ekosistem. Ini. Akhirnya kesan mendadak dapat dilihat apabila kawasan tanah tinggi yang strategik seperti Cameron Highland, Genting Highland dan Bukit Fraser telah diteroka dengan sewenang-sewenangnya. Akibatnya kita sendiri dapat merasakan peningkatan suhu di Cameron Highland telah naik mendadak dari 22 – 24 selsius kepada 26 –28 selsius.

Selain itu, tanah tinggi yang menjadi ‘stor sampanan’ air sepanjang zaman telah menjadi sejat dengan tiba-tiba. Hal tersebut telah mendaruratkan warga Lembah Kelang pada setiap kali kemarau panjang melanda khususnya dalam krisis air tahun 1998. Selain itu, hutan dan tanah tinggi juga menjadi benteng penghadang rempuhan air dan aingin kencang. Pokoklah yang menjadi pasak dan pengikat untuk mengukuhkan ikatan tekstur tanah. Walau bagaimanpun, disebabkan oleh kejaihilan dan kerakusan nafsu manusia, semua fungsi tersebut dipandang remeh sahaja. Akhirnya malapetaka yang tidak disangka-sangka telah melanda seperti kejadian ribut Gred di Sabah, Tragedi Pos Dipang di Perak, Kejadian tanah runtuh di Simunjam Sarawak.Tragedi-tragedi seumpama ini mungkin dapat dielakkan atau sekurang-kurangnnya dapat diminimumkan sekiranya manusia lebih prihatin dengan fenomena alam.

Memandangkan fenomena pelupusan hutan ini boleh membawa bencana terhadap pelesterian alam dan manusia, prihatin dengan masalah tersebut maka kita hendaklah bertindak segera mencari jalan penyelesaiannya. Langkah yang paling berkesan ialah pihak berkuasa hendaklah menyelaras semua aktiviti pembangunan yang melibatkan semua kawasan hutan simpan dan mengawal penerokaan tanah baru khususnya di kawasan tanah tinggi. Oleh itu, Kementerian Teknologi dan alam Sekitar hendaklah diberi tanggungjawab yang lebih untuk menjadi urus setia, pemantau dan penguatkuasa sebarang kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang negara.

Selain itu, lesen dan konsesi pembalakan hendaklah dikaji semula. Aktiviti pembalakan merupakan ancaman paling serius terhadap kepupusan hutan. Menurut kajian, tragedi Pos Dipang dalam tahun 1999 juga berkaitan dengan kegiatan pembalakan haram di kawasan tadahan air di puncak gunung tersebut setelah batang-batang balak yang hanyut ditemui tersekat di jambatan sungai Kampar. Oleh itu, pihak berkuasa mestilah lebih proaktif bertindak seperti menarik balik lesen pembalakan daripada kontraktor yang dengan terang-terangan menebang dan mencuri balak.

Langkah seterusnya juga ialah memberhentikan dengan serta-merta semua kegiatan pembangunan yang berpusat di tanah tinggi. Pembangunan di tanah tinggi yang lebih tertumpu kepada aktiviti pelancongan tidak sepatutnya dibiarkan sampai mengorbankan khazanah hutan yang sangat bernilai itu. Berdasarkan laporan akhbar sejak beberapa tahun yang lalu, pembinaan kondo mewah di tanah tinggi Cameron telah menyebabkan kesan pencemaran yang teruk dan peningkatan suhu yang mendadak. Demikian pula dengan kegiatan menarah bukit untuk membina kediaman mewah di Ulu Kelang telah menyebabkan berlaku kontroversi apabila timbul ura-ura untuk memindahkan Zoo negara ke Ulu Selangor. Inilah akibatnya apabila sikap rakus dan tamak haloba telah menguasai diri.

Sesungguhnya, sebagai warga yang prihatin, saya terlalu sayang dan cinta akan bumi Malaysia  yang bertuah ini. Saya yakin ramai lagi rakyat Malaysia yang bersetuju supaya hutan dan khazanah negara yang bernilai tidak boleh diteroka semata-mata untuk kepentingan perut. Ingatlah kepada pesanan,’ Alam ini sebenarnya bukan kita warisi daripada generasi yang terdahulu, sebaliknya kita pinjam daripada generasi sebelumnya.’ Oleh itu yang meminjam perlulah menjaga akan barang yang dipinjam.

0 comments: