Thursday, August 27, 2009

Contoh Karangan Ceramah : Isu Teknologi Maklumat

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,


Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.


Hadirin yang budiman,


Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,


Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.


Tuan-tuan dan puan-puan,


Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?


Hadirin sekalian,


Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.


Hadirin yang dikasihi,


Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.


Sekian, terima kasih.

contoh karangan :isu pelancongan

Esei Pelancongan
Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur - selepas China dan Hong Kong.

Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.

Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.

Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.

Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.

Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.

Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.

Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.

Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.

Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.

Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.

Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

Kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya
Kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini meningkat dari semasa ke semasa. Terdapat pelbagai jenis kemalangan sama ada yang melibatkan pemandu kereta, lori, penunggang motosikal, atau pejalan kaki dilaporkan oleh pihak berkuasa. Negara kita juga dikatakan sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya yang tertinggi. Antara faktor utama peningkatan kes kemalangan di negara kita berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri.
Contoh kecuaian yang berlaku adalah seperti memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Akibat hendak segera sampai ke destinasi yang dituju, mereka tidak menghiraukan keadaan mereka yang dalam keletihan. Akibatnya kenderaan dipandu dalam keadaan kurang tumpuan. Pemandu yang berada dalam keadaan begini seharusnya berhenti seketika untuk menghilangkan rasa mengantuk dan letih supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.
Kesalahan lain yang biasa dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Walaupun banyak papan tanda had laju diletakkan di sepanjang jalan raya dan kawalan lalu lintas oleh pihka berkuasa, namun mereka masih berdegil dan memandu sesuka hati tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri dan orang lain. Malah, ada juga yang berlumba secara haram menggunakan motosikal di atas jalan raya seperti yang biasa dilakukan oleh golongan remaja.
Untuk mengelakkan kejadian kemalangan yangteruk meningkat, langkah-langkah yang praktikal perlu diambil oleh semua pihak. Pihak kerajaan, swasta dan rakyat harus bekerjasama demi memastikan keselamatan semua. Pihak kerajaan daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, polis, dan Jabatan Kerja Raya harus membuat pemantauan dari semua aspek untuk mendisiplinkan para pemandu dan menyediakan laluan jalan raya yang selesa demi keselamatan pemandu. Penguatkuasaan undang-undang, kempen kesedaran, dan pelaksanaan denda atau saman bagi kesalahan jalan raya adalah antara langkah yang wajar diambil untuk menyedarkan pengguna jalan raya. Sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini dengan menyiarkan iklan yang dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya yang lain.
Masyarakat harus sedar tentang peranan masing-masing di jalan raya. Mereka tidak harus mementingkan diri sendiri sebaliknya perlu bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang lain. Peraturan jalan raya haruslah dipatuhi untuk memastikan keselamatan semua pihak. Jangan gopoh gapah semasa memandu kerana kecuaian menjadi punca nyawa sendiri dan orang lain yang tidak bersalah turut terancam. Kenderaan perlulah diperiksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
Kesimpulannya, keselamatan di atas jalan raya merupakan tanggungjawab pengguna jalan raya sendiri. Kecuaian merupakan punca utama kemalangan berlaku dan hal ini tidak harus dibiarkan berterusan untuk menjamin keselamatan semua pihak. Manusia memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan tetapi kesilapan yang dapat menyebabkan nyawa orang lain juga turut melayang haruslah dielakkan demi kesejahteraan bersama.

Contoh Karangan Pendapat

Contoh Karangan Pendapat : Isu Dadah
Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Pada akhir tahun 1960-an, negara kita mulai mengalami masalah dadah Golongan remaja dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar Amerika yang melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda- pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah, kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang amat ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun demikian, tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul bersama.

Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk ini. Masyarakat harus dididik sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati sanubari mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Sebahagian besar penagih-penagih dadah di negara kita terdiri daripada golongan remaja antara 15-29 tahun. Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang ibu bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah.

Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional, mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni.

Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.

contoh karangan

TAJUK : Anda berasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang terlalu rakus sehingga tergamak memusnahkah hutan belantara. Sebagai reaksi kepada fenomena tersebut anda ingin menyumbangkan sebuah rencana untuk dimuatkan di dalam sebuah majalah tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah ‘Pemusnahan Hutan di Neg ara Ini: Punca dan Langkah Mengatasinya. ’ Tuliskan rencana tersebut selengkapnya.

Pemusnahan Hutan Di Malaysia : Punca dan Langkah Mengatasinya


Saudara Pengarang,

Hutan merupakan habitat semula jadi kepada beribu-ribu spesies flora dan fauna. Hutan berfungsi sebagai penstabil ekosistem alam. Di Malaysia hutan hujan tropika mengandungi khazanah bernilai yang sukar ditemui di negaranegara lain. Kewujudan hutan yang begitu luas di negara kita telah menjadi suatu rahmat yang tidak ternilai.Akan tetapi, warisan sumber tropika ini semakin menghadapi bahaya ancaman kepupusan akibat kurang penjagaan, penerokaan haram, dan aktiviti pengodolan tanah tinggi yang menjadi-jadi. Hutan kini menjadi mangsa kerakusan manusia yang mengejar untung dan laba.Justeru, atas tiket pembangunan manusia telah mewajarkan hutan diteroka dengan sewenangwenangnya.Prihatin dengan keadaan tersebut, sebagai warga yang bertanggungjawab kita wajar mengenal pasti akan punca-punca masalah ini terjadi dan mengambil insiatif untuk membendungnya.

Pemusnahan hutan lazimnya dikaitkan dengan penglibatan dalam bidang ekonomi. Memang sejak era tradisi lagi hutan telah dikenal pasti sebagai sumber khazanah yang tidak ternilai kekayaannya.Hasil-hasil hutan seperti kayu-kayan, rotan, buah-buahan dan binatang telah menjadi keperluan kepada manusia sejak dari zaman primitif hingga ke hari ini. Selain itu, hutan menjadi sasaran dalam aktiviti pertanian sama ada pertanian pindah pada zaman primitif atau pertanian komersial pada era pascamoden kini. Oleh itu, atas tiket pembangunan hutanlah yang menjadi sasaran. Kadang-kala sikap manusia sendiri yang menjadi terlalu ironis kerana manusia yang dikatakan terlalu sensitif dengan pelesterian alam, tetapi dalam masa yang sama tergamak menggeledah hutan rimba dan gunungganang yang menjadi pasak alam dan penstabil ekosistem. Ini. Akhirnya kesan mendadak dapat dilihat apabila kawasan tanah tinggi yang strategik seperti Cameron Highland, Genting Highland dan Bukit Fraser telah diteroka dengan sewenang-sewenangnya. Akibatnya kita sendiri dapat merasakan peningkatan suhu di Cameron Highland telah naik mendadak dari 22 – 24 selsius kepada 26 –28 selsius.

Selain itu, tanah tinggi yang menjadi ‘stor sampanan’ air sepanjang zaman telah menjadi sejat dengan tiba-tiba. Hal tersebut telah mendaruratkan warga Lembah Kelang pada setiap kali kemarau panjang melanda khususnya dalam krisis air tahun 1998. Selain itu, hutan dan tanah tinggi juga menjadi benteng penghadang rempuhan air dan aingin kencang. Pokoklah yang menjadi pasak dan pengikat untuk mengukuhkan ikatan tekstur tanah. Walau bagaimanpun, disebabkan oleh kejaihilan dan kerakusan nafsu manusia, semua fungsi tersebut dipandang remeh sahaja. Akhirnya malapetaka yang tidak disangka-sangka telah melanda seperti kejadian ribut Gred di Sabah, Tragedi Pos Dipang di Perak, Kejadian tanah runtuh di Simunjam Sarawak.Tragedi-tragedi seumpama ini mungkin dapat dielakkan atau sekurang-kurangnnya dapat diminimumkan sekiranya manusia lebih prihatin dengan fenomena alam.

Memandangkan fenomena pelupusan hutan ini boleh membawa bencana terhadap pelesterian alam dan manusia, prihatin dengan masalah tersebut maka kita hendaklah bertindak segera mencari jalan penyelesaiannya. Langkah yang paling berkesan ialah pihak berkuasa hendaklah menyelaras semua aktiviti pembangunan yang melibatkan semua kawasan hutan simpan dan mengawal penerokaan tanah baru khususnya di kawasan tanah tinggi. Oleh itu, Kementerian Teknologi dan alam Sekitar hendaklah diberi tanggungjawab yang lebih untuk menjadi urus setia, pemantau dan penguatkuasa sebarang kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang negara.

Selain itu, lesen dan konsesi pembalakan hendaklah dikaji semula. Aktiviti pembalakan merupakan ancaman paling serius terhadap kepupusan hutan. Menurut kajian, tragedi Pos Dipang dalam tahun 1999 juga berkaitan dengan kegiatan pembalakan haram di kawasan tadahan air di puncak gunung tersebut setelah batang-batang balak yang hanyut ditemui tersekat di jambatan sungai Kampar. Oleh itu, pihak berkuasa mestilah lebih proaktif bertindak seperti menarik balik lesen pembalakan daripada kontraktor yang dengan terang-terangan menebang dan mencuri balak.

Langkah seterusnya juga ialah memberhentikan dengan serta-merta semua kegiatan pembangunan yang berpusat di tanah tinggi. Pembangunan di tanah tinggi yang lebih tertumpu kepada aktiviti pelancongan tidak sepatutnya dibiarkan sampai mengorbankan khazanah hutan yang sangat bernilai itu. Berdasarkan laporan akhbar sejak beberapa tahun yang lalu, pembinaan kondo mewah di tanah tinggi Cameron telah menyebabkan kesan pencemaran yang teruk dan peningkatan suhu yang mendadak. Demikian pula dengan kegiatan menarah bukit untuk membina kediaman mewah di Ulu Kelang telah menyebabkan berlaku kontroversi apabila timbul ura-ura untuk memindahkan Zoo negara ke Ulu Selangor. Inilah akibatnya apabila sikap rakus dan tamak haloba telah menguasai diri.

Sesungguhnya, sebagai warga yang prihatin, saya terlalu sayang dan cinta akan bumi Malaysia  yang bertuah ini. Saya yakin ramai lagi rakyat Malaysia yang bersetuju supaya hutan dan khazanah negara yang bernilai tidak boleh diteroka semata-mata untuk kepentingan perut. Ingatlah kepada pesanan,’ Alam ini sebenarnya bukan kita warisi daripada generasi yang terdahulu, sebaliknya kita pinjam daripada generasi sebelumnya.’ Oleh itu yang meminjam perlulah menjaga akan barang yang dipinjam.

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.



Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.


Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.



Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.



Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.



Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.


Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.



Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.



Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.


Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.



Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.



Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.



Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

karangan penting spm 2009

Amalan berjimat cermat dan menabung



Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.


Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.


Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.


Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.


Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.



Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Soalan: Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau kampung, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa `Jiran sepakat membawa berkat’. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Salah satu langkah yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa `tak kenal maka tak cinta’. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnyan, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Seterusnya, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu `bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.’. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa `bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Wednesday, August 26, 2009

kebaikan PLKN

kebaikan PLKN



Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan negara terus membangun dengan pesat. Kerajaan melaksanakan program-program yang memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. Satu daripada program yang mendapat perhatian masyarakat kini ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini banyak memberikan faedah kepada masyarakat dan negara. PLKN dapat memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan peserta. Menerusi program yang diikuti semasa menjalani latihan, para peserta dapat dipupuk menjadi warga negara yang kasih akan negara. Program menyanyikan lagu-lagu patriotik dapat memupuk rasa cinta akan negara.

Program mendeklamasikan sajak yang bertemakan semangat patriotik juga dapat menyemai rasa sayang akan negara.Program ceramah yang mengemukakan sejarah tanah air, pemimpin-pemimpin tanah air kita dapat menyemai dan membina semangat cinta akan negara. Penyemaian semangat cinta akan negara ini dalam kalangan para peserta amat penting , bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".



Di samping itu, PLKN juga dapat memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional. Para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum yang datangnya dari negerinegeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bergaul dan bermesra dalam tempoh yang panjang. Dalam jangka masa tiga bulan mereka menjalani pelbagai aktiviti seperti aktiviti kumpulan, ceramah dan sebagainya dapat membuka ruang kepada setiap peserta mengenali antara satu sama lain. Menerusi aktiviti kumpulan misalnya, mereka dapat belajar untuk bekerjasama, bertolak ansur, bersedia memberikan pendapat dan bersedia pula untuk menerima pandangan orang lain. Segala amalan ini dapat membina semangat persaudaraan dan sikap berbaik sangka dalam kalangan generasi muda ini.

Menerusi PLKN juga sikap berdisiplin dan pembinaan jati diri dapat dipupuk dan direalisasikan. Jadual latihan dan pimpinan jurulatih dapat mendidik para peserta supaya berdisiplin dan mematuhi arahan. Mereka juga dapat dilatih supaya menghargai masa. Aktiviti lasak ala ketenteraan dapat membantu ketahanan fizikal dan sekali gus memperkukuh jati diri. Selain itu, aktiviti berbentuk kerohanian seperti sembahyang berjemaah, kuliah subuh dan ceramah dapat membina kekuatan mental dan disiplin yang tinggi dalam kalangan peserta. Aktiviti kebajikan juga seperti menziarahi dan membersihkan kawasan rumah warga tua serta membantu mangsa tsunami dapat membina disiplin dan jati diri yang tekal dan kental.

Jelaslah kepada kita bahawa PLKN memberikan manfaat kepada peserta, masyarakat dan negara. Sikap masyarakat yang positif terhadap program ini hendaklah diteruskan bagi memastikan aspirasi program ini tercapai sepenuhnya. Kita meyakini bahawa PLKN merupakan pemangkin bagi mengangkat martabat dan kewibawaan negara.


Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan kursus latihan wajib bagi sesetengah daripada mereka yang baru menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia. Ia bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah bersifat Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan menurut cara Malaysia.Pada setiap tahun, 18% daripada remaja yang akan berumur 18 tahun pada tahun latihan mereka dipilih untuk menyertai PLKN ini. Namun mereka yang bermasalah tertentu boleh memohon untuk ditangguhkan atau dikecualikan untuk PLKN ini.
Latar belakang
Sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah dibentuk dalam Mesyuarat Kabinet pada 30 Oktober 2002 untuk mengkaji keperluan pelaksanaan Kerahan Tenaga ini. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan dan dianggotai oleh 7 Menteri, seorang Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri dan 5 Timbalan Menteri.Di dalam mesyuarat pertama pada 12 November 2002, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah menerima pengunaan istilah Khidmat Negara bagi menggantikan istilah Kerahan Tenaga. Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara (JKMKN) telah menubuhkan 4 buah Jawatankuasa Kecil iaitu Jawatankuasa Kecil Kewangan, Jawatankuasa Kurikulum, Jawatankuasa Undang-Undang dan Jawatankuasa Logistik bagi membantu jawatankuasa ini menyediakan perancangan dan menyelaraskan keperluan pelaksanaan Program Khidmat Negara.Kabinet pada 28 Mei 2003 telah meluluskan cadangan pelaksanaan Program Khidmat Negara dan Akta Latihan Khidmat Negara 2003. Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara pada 25 Jun 2003 manakala Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang ini pada 7 Julai 2003.Peserta kongres mahu kerajaan melaksanakan program ‘kerahan tenaga’ ini untuk menyediakan golongan muda bagi menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara, menangani perubahan-perubahan seperti teknologi baru, globalisasi, desakan badan bukan kerajaan antarabangsa yang ‘tidak demokratik’ dan lain-lain; menanam semangat kesukarelaan kepada golongan muda memandangkan terdapatnya perkaitan antara ketiadaan sikap kesukarelaan dengan keadaan persatuan-persatuan yang ‘terkubur’; menyatupadukan golongan muda dari pelbagai kaum memandangkan usaha yang sama melalui sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah kurang berjaya, kerana masih ada golongan yang mahu memisahkan anak muda mengikut kaum. Peserta kongres menganggap program ini dapat mempertingkatkan semangat patriotisme golongan muda yang merupakan aset negara. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga (JKMKT) Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga (JKMKT) telah ditubuhkan pada 30 Oktober 2002. JKMKT telah mendapatkan maklumbalas daripada rakyat dan membuat berbagai perbincangan dengan persatuan dan pertubuhan sebelum keputusan dibuat tentang pelaksanaan program ini. Di antara tindakan kerajaan ialah:
  • menjalankan kajian terhadap ibu bapa dan pelajar mengenai  Program Khidmat Negara. Penemuan kajian menunjukkan 98.4% ibu bapa dari pelbagai kaum bersetuju dengan program ini; 93% bersetuju program ini dijalankan secara berasrama; 80.4% bersetuju supaya melibatkan kedua-dua lelaki dan perempuan. Dari segi tempoh program, 50% dari kaum lain-lain mahu tempoh enam (6) bulan; 43.1% kaum Melayu mahukan enam (6) bulan dan 41.7% dari kaum Cina mahukan tiga (3) bulan. Tiga objektif utama program yang dipersetujui ialah patriotisme, perpaduan dan disiplin.
  • Mendapatkan pandangan dari badan-badan bukan kerajaan,parti politik
  • Mengkaji pelaksanaan program-program kerahan tenaga dankhidmat negara di negara-negara lain
  • Menukarkan istilah ‘kerahan tenaga’ kepada ‘khidmat negara’
 
Objektif


Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:
  • Menanam semangat patriotisme di kalangan generasi muda atau remaja Malaysia.
  • Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  • Membentuk perwatakan positif (character building) menerusi nilai-nilai murni.
Konsep logo


  • Konsep logo yang cuba ditonjolkan ialah api yang sedang membara melambangkan semangat patriotisme.
  • Bentuk api dihasilkan dengan jalur merah melambangkan 3 suku kaum utama di Malaysia bersatu padu mempertahankan negara.
  • Bentuk bulat berwarna biru menandakan perpaduan yang erat antara yang terjalin antara kaum.
  • Bentuk bulan dan bintang pula melambangkan kedaulatan negara yang harus dipertahankan oleh semua pihak.
  • Perkataan KHIDMAT NEGARA dibentuk mencakupi bentuk api tadi bagi melambangkan misi dan visi yang akan dilaksanakan.

Pelaksanaan
Dalam melaksanakan Program Khidmat Negara ini, beberapa aspek penting telah diambil kira iaitu:

  • Jangka masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama.
  • Pelaksanaan pada tahun 2004.
  • Kemudahan infrastruktur latihan dan kemudahan-kemudahan asrama seperti di pusat IPTA sedia ada.
  • Implikasi kewangan.
  • Menghadkan kesan ke atas sistem pembelajaran yang sedang berjalan.
  • Guna tenaga dari segi kepakaran dan pengalaman

kebaikan PLKN

Idea untuk mengadakan Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ) sebenarnya telah tercetus sejak sepuluh tahun yang lalu setelah diteliti dari segi kebaikan dan keburukannya, program PLKN ini dilaksanakan pada 16 Februari 2004. PLKN ini diwujudkan supaya semangat patriotisme dalam kalangan remaja dapat disemai. Peserta ini juga akan mendapat kekuatan luaran dan dalaman bagi menghadapi sebarang cabaran yang mendatang dalam kehidupan.Peserta PLKN ini dipilih daripada golongan remaja dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ). Mereka akan menjalani latihan fizikal, kursus ketatanegaraan dan perkhidmatan masyarakat. Modul serampang tiga mata ini diharap dapat melahirkan golongan remaja yang sayang dan cinta akan negara serta bersedia mempertahankan tanah air sekiranya diancam pihak luar. Selain itu, PLKN berperanan bagi mewujudkan perpaduan dan memupuk integrasi sosial yang lebih jitu dalam kalangan generasi muda yang terdiri daripada pelbagai kaum. Secara tidak langsung pelajar lepasan sekolah dan para remaja terhindar daripada membuang masa serta melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak berfaedah. Sehubungan itu, program ini dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak muda hari ini.Latihan ala ketenteraan dan aktiviti lasak pula bukan bertujuan untuk mendera tetapi membentuk disiplin dan ketahanan diri mereka sendiri. Semua modul yang digunakan, disesuaikan dengan persekitaran sosial dan budaya masyarakat di Malaysia. PLKN ini juga merupakan program untuk pelajar SPM menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan sebelum mereka menerjunkan diri ke dalam realti kehidupan yang sebenar.Mereka juga akan dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelbagai anggota masyarakat apabila mereka menjalankan aktiviti perkhidmatan sosialnya.Setelah tamat latihan, kerajaan mengharapkan agar para pelatih PLKN dapat menjadi remaja yang bersemangat patriotik dan mempunyai jati diri yang tinggi serta menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

contoh karangan spm

Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja


Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.
Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.


Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.


Kempen anti merokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat. Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.


Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.