Wednesday, August 26, 2009

kebaikan PLKN

kebaikan PLKN



Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan negara terus membangun dengan pesat. Kerajaan melaksanakan program-program yang memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. Satu daripada program yang mendapat perhatian masyarakat kini ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini banyak memberikan faedah kepada masyarakat dan negara. PLKN dapat memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan peserta. Menerusi program yang diikuti semasa menjalani latihan, para peserta dapat dipupuk menjadi warga negara yang kasih akan negara. Program menyanyikan lagu-lagu patriotik dapat memupuk rasa cinta akan negara.

Program mendeklamasikan sajak yang bertemakan semangat patriotik juga dapat menyemai rasa sayang akan negara.Program ceramah yang mengemukakan sejarah tanah air, pemimpin-pemimpin tanah air kita dapat menyemai dan membina semangat cinta akan negara. Penyemaian semangat cinta akan negara ini dalam kalangan para peserta amat penting , bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".



Di samping itu, PLKN juga dapat memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional. Para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum yang datangnya dari negerinegeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bergaul dan bermesra dalam tempoh yang panjang. Dalam jangka masa tiga bulan mereka menjalani pelbagai aktiviti seperti aktiviti kumpulan, ceramah dan sebagainya dapat membuka ruang kepada setiap peserta mengenali antara satu sama lain. Menerusi aktiviti kumpulan misalnya, mereka dapat belajar untuk bekerjasama, bertolak ansur, bersedia memberikan pendapat dan bersedia pula untuk menerima pandangan orang lain. Segala amalan ini dapat membina semangat persaudaraan dan sikap berbaik sangka dalam kalangan generasi muda ini.

Menerusi PLKN juga sikap berdisiplin dan pembinaan jati diri dapat dipupuk dan direalisasikan. Jadual latihan dan pimpinan jurulatih dapat mendidik para peserta supaya berdisiplin dan mematuhi arahan. Mereka juga dapat dilatih supaya menghargai masa. Aktiviti lasak ala ketenteraan dapat membantu ketahanan fizikal dan sekali gus memperkukuh jati diri. Selain itu, aktiviti berbentuk kerohanian seperti sembahyang berjemaah, kuliah subuh dan ceramah dapat membina kekuatan mental dan disiplin yang tinggi dalam kalangan peserta. Aktiviti kebajikan juga seperti menziarahi dan membersihkan kawasan rumah warga tua serta membantu mangsa tsunami dapat membina disiplin dan jati diri yang tekal dan kental.

Jelaslah kepada kita bahawa PLKN memberikan manfaat kepada peserta, masyarakat dan negara. Sikap masyarakat yang positif terhadap program ini hendaklah diteruskan bagi memastikan aspirasi program ini tercapai sepenuhnya. Kita meyakini bahawa PLKN merupakan pemangkin bagi mengangkat martabat dan kewibawaan negara.


0 comments: